Memartabatkan Hak Kanak-Kanak

7 Disember 2016

MENJADI tanggungjawab setiap pihak untuk memastikan kanak-kanak mendapatkan pendidikan sempurna dan berkualiti serta menepati fitrah mereka sebagai khalifah di bumi ini.

AKTA Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) mentafkrifkan mereka yang berumur di bawah 18 tahun sebagai kanak-kanak. Golongan masyarakat ini menjadi aset berharga dalam pembentukan dan pembangunan sesebuah negara. Penjagaan hak kanak-kanak dalam setiap aspek, terutamanya hak pendidikan pada masa kini, mencerminkan nasib dan keadaan negara pada masa hadapan.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Setiap anak dilahirkan di atas fitrah hingga ia fasih (berbicara), maka kedua-dua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”(Hadis riwayat al-Baihaqi dan ath-Thabarani dalam al-Mu’jamul Kabir).


Hadis ini membuktikan Islam juga sangat menitikberatkan pendidikan kanak-kanak dan peranan orang tua. Kanak-kanak sangat suci, mereka perlu dicorakkan dan dibentuk menurut acuan yang betul. Menjadi tanggungjawab setiap pihak untuk memastikan mereka mendapatkan pendidikan sempurna dan berkualiti serta menepati fitrah mereka sebagai khalifah di bumi ini.

Menyedari kepentingan agar hak pendidikan kanak-kanak dilindungi, pelbagai akta dan konvensyen telah digubal di dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR), Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC) serta Akta Kanak-Kanak 2001 antara usaha menjaga hak asasi kanak-kanak termasuklah hak pendidikan. Malah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga memainkan peranan penting dalam memelihara hak pendidikan bagi kanak-kanak di Malaysia melalui mandatnya sebagai badan yang memantau sebarang bentuk diskriminasi dan penafian hak asasi manusia di Malaysia.

Malaysia telah meratifikasi CRC pada 17 Februari 1995. Artikel 28 menyentuh tentang tanggungjawab negara dalam memastikan pendidikan rendah diwajibkan dan diadakan secara percuma kepada semua. Perkara ini sejajar dengan matlamat kedua UDHR dan ini bermakna semua kanak-kanak di Malaysia seharusnya mempunyai peluang sekurang-kurangnya setahun di peringkat pendidikan awal, dan enam tahun di peringkat sekolah rendah secara percuma.

Sungguhpun pelbagai usaha dijalankan namun masih terdapat kanak-kanak yang tercicir daripada mendapat hak pendidikan mereka termasuklah kanak-kanak kurang upaya (OKU), Orang Asli, mereka yang tinggal di pedalaman dan miskin serta hak kanak-kanak rakyat negara lain yang menetap di Malaysia dengan izin atau tanpa izin.

Konsep hak pendidikan kanak-kanak perlu difahami dan dilaksanakan dengan baik oleh semua peringkat. Artikel 29 dalam CRC menerangkan pendidikan hendaklah mempunyai matlamat untuk mengembangkan personaliti, bakat dan kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak pada tahap paling tinggi. Kebolehan mental mahupun fizikal kanak-kanak adalah berbeza-beza. Kecenderungan dan keupayaan mereka luas dan berada pada domain yang tersendiri. Maka, keputusan peperiksaan berdasarkan prestasi akademik semata-mata tidak sepatutnya dijadikan kayu ukur bagi menentukan kepandaian seseorang kanak-kanak itu. Dikhuatiri, ini adalah satu pencabulan ke atas hak pendidikan kepada kanak-kanak.

Menurut Al-Abrashi di dalam kitab al-Tarbiyyah al-Islamiyyah Wa Falasifatuna, matlamat pendidikan ialah menyediakan pelajar menjalani hidup murni dengan penuh tanggungjawab ke arah pembentukan sahsiah Islam. Dengan ilmu, manusia dapat memelihara akal dan akhlak dalam sistem kehidupannya.

Oleh itu,menjadi tanggungjawab setiap orang Islam untuk memartabatkan hak pendidikan kanak-kanak dalam membina tamadun dan peradaban Islam yang hebat.

Dilema utama yang dihadapi sistem pendidikan Islam di Malaysia dewasa ini ialah pelbagai persepsi negatif dan cabaran mengurus institusi-institusi mereka secara teratur dan profesional. Terutamanya, institusi swasta yang sekarang ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Keberadaan madrasah,sekolah tahfiz,sekolah agama rakyat dan institusi lain berlatarbelakangkan pendidikan Islam seringkali berada di tahap yang menyedihkan. Mereka mempunyai masalah menyediakan silibus pendidikan yang berkualiti, tidak mempunyai kemudahan prasarana dan perkembangan pelajar dalam menentukan kecenderungan mereka dalam pembelajaran juga tidak dapat disukat secara konsisten dan betul. Hal ini kerana ketiadaan sistem sempurna dan dana yang mencukupi dalam membina sistem pendidikan kanak-kanak. Ini boleh menjadi penyebab penafian hak pendidikan kanak-kanak yang sempurna dalam sistem pendidikan Islam.

Atas kesedaran ini, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) yang ditubuhkan melalui permuafakatan pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) akan menganjurkan Kolokium Hak Kanak-Kanak Dalam Sistem Pendidikan Islam dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di CENTHRA pada semalam, 9 Mac 2016.

Antara objektif utama kolokium ini adalah mewujudkan kesedaran tentang kepentingan hak kanak-kanak di dalam sistem pendidikan Islam serta mendapatkan input serta pandangan daripada guru, mudir, pengelola sekolah agama rakyat SAR, tahfiz, pondok, madrasah, ibu bapa, pegawai dan pentadbir pendidikan Jabatan Agama Islam dan Kementerian Pendidikan dan aktivis-aktivis pendidikan NGO mengenai cara atau kaedah untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan Islam dari perspektif hak asasi manusia khususnya hak kanak-kanak.

Setiap pihak memainkan peranan penting dalam memelihara hak pendidikan kanak-kanak khasnya di Malaysia. Kementerian Pendidikan, guru-guru dan ibu bapa perlu berusaha memberikan hak pendidikan kanak-kanak tanpa diskriminasi kepada sesiapa sahaja. Kanak-kanak yang mendapat hak pendidikan yang berkualiti akan menjadi sumber penting dalam mencari penyelesaian masalah dan kemelut yang dihadapi kini. Mereka bukanlah beban tetapi satu pelaburan yang diperlukan untuk masa kini dan hadapan.

PENULIS ialah Felo Muda Dakwah Yadim yang sedang menjalani latihan praktikal di Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/memartabatkan-hak-kanak-kanak-1.198966