7 Ciri Ibu Ayah Yang Akan Membentuk Anak Soleh & Solehah

10 Nov 2016
Oleh: Personaliti Ustazah Norhafizah Musa


Semua ibu ayah akan doakan anak-anak mereka jadi anak yang soleh dan solehah dalam doa harian selepas solat dan dalam posting di facebook dan instagram.

Pendek kata ia memang impian semua yang bergelar ibu ayah. Tapi sejauh mana usaha ibu ayah sendiri untuk mendapat anak-anak yang soleh dan solehah?

Adakah cukup dengan menghantar mereka ke sekolah tahfiz? Tipulah kalau cakap ibu ayah tak nak mendapat syafaat daripada anak-anak yang bergelar tahfiz/tahfizah. Tapi apa tindakan kita?


Menurut pendakwah terkenal, Ustazah Norhafizah Musa, perkara yang paling sukar untuk didik anak jadi soleh dan solehah atau mewujudkan keluarga baiti jannti adalah keupayaan ibu ayah untuk menjadi contoh dan teladan kepada anak-anak. Ia adalah perkara paling sukar!

Tentu kita sudah puas menasihat dan berbuih mulut bercakap menyuruh anak berbuat kebaikan. Berpesan kepada anak supaya mereka membesar menjadi anak yang soleh dan solehah tapi sebenarnya kesan yang paling besar apabila anak melihat terjemahan dan penghayatan apa yang kita cakap dan pesan itu pada diri ibu ayah sendiri.

Teladan daripada ibu ayah adalah perkara paling besar dalam mendidik anak-anak.

Nabi pernah bersabda yang bermaksud : Allah mengasihi dan merahmati ibu ayah yang membantu anaknya, menunjukkan anaknya bagaimana cara berbakti kepada ibu ayahnya.

Oleh itu marilah kita berubah menjadi ibu ayah yang mempunyai ciri-ciri berikut jika mahukan anak-anak soleh dan solehah.


1. Didik anak dengan lembut hati.

Anak-anak akan belajar daripada ibu ayah supaya tidak menjadi orang yang keras hati.


2. Jadilah ibu ayah yang pemaaf dan tawaduk.

Anak-anak akan hormat dan menghargai ibu ayah yang boleh merendah diri mengakui kesilapan dalam mendidik mereka.


3. Menjadi contoh terbaik.

Anak-anak hendak melihat terjemahan keindahan agama pada diri ibu ayah. Janganlah kita menyuruh anak-anak solat dan membaca al-Quran tetapi ibu ayah sendiri tidak membuat perkara tersebut. Anak-anak hendak tengok ibu ayah juga cinta kepada al-Quran terlebih dahulu. Jika tiada teladan baik daripada ibu ayah itu adalah kesukaran dalam pendidikan tersebut.


4. Perbaiki kasih sayang kepada anak-anak.

Jangan abaikan perasaan anak-anak. Anak-anak adalah amanah dari Allah maka curahkan kasih sayang sepenuhnya kepada mereka.


5. Perbaiki hati kita.

Sentiasa berusaha menjadi ibu ayah yang mempunyai hati yang bersih dan ikhlas untuk mendidik anak ke jalan Allah SWT.


6. Perbaiki cara pendidikan kita.

Cara pendidikan kita terhadap anak-anak juga perlulah mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah saw.

7. Perbaiki solat.

Jika mahu anak rajin bersolat, ibu ayah terlebih dahulu perlu memperbaiki kualiti solat. Allah SWT memberi jaminan kalau kita bersungguh-sungguh di jalan Allah dan serahkan kepada Allah untuk mengurus dan mengubah anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah, maka Insha Allah Dia akan memperkenankan doa kita.

Sumber: http://www.majalahpama.my/famili/hot-tip/7-ciri-ibu-ayah-yang-akan-membentuk-anak-soleh-solehah-1.463456