Ketahui Tiga Perkara Mendidik Anak Yang Soleh Dan Solehah

19 September 2016


Bagaimanakah untuk menjadi seorang Muslim yang baik? Adakah dengan melakukan ibadah yang banyak akan menjadikan kita seorang Muslim yang baik? Sebenarnya beribadah sahaja belum cukup untuk menjadikan kita seorang Muslim yang baik.

Untuk menjadi seorang Muslim yang baik kita mestilah mempunyai tiga ciri yang penting ini:-

Beriman

Beramal soleh

Berakhlak baik



Jika ketiga-tiga ciri ini ada di dalam diri, nescaya kita akan menjadi Muslim yang baik. Jika kurang salah satu dari ciri-ciri ini maka kita bukanlah tergolong dari orang Muslim yang baik.

1) Beriman 

Iman tidak datang dengan sendiri. Walaupun seorang itu dilahirkan di dalam keluarga yang beragama Islam, dia tidak dilahir dengan iman di hatinya. Iman tidak boleh diwarisi dari ibu-bapa ke anak.Iman mesti dicari dan dipelajari. Iman perlu disemai dan dibaja supaya menjadi subur. Cara membaja dan menyemai iman ialah dengan belajar ilmu mengenal ALLAH. Iman boleh bertambah atau berkurang bergantung dengan usaha kita sendiri. Hati yang dipenuhi iman akan merasa senang apabila dapat berbuat kebaikan dan merasa sedih apabila melakukan kejahatan. Iman yang berfungsi akan menghalang seorang Muslim dari melakukan perkara yang dimurkai Tuhannya. Cara untuk kuatkan iman ialah dengan selalu berbuat murakabah diri iaitu menilai diri sendiri. Iman yang sempurna dan benar akan membuahkan amal-amal soleh.

2) Beramal Soleh 

Amal soleh adalah buah iman. Ertinya, hati yang dipenuhi iman akan sentiasa taat akan perintah Tuhannya samada perintah suruh buat mahupun perintah larang buat. Amal soleh datang dari keinginan untuk dekat kepada Tuhannya. Orang-orang ini telah dapat merasakan kemanisan iman. Hati yang dipenuhi dengan iman tidak akan dimasuki zan iaitu titik hitam yang akan menutup hati dari menerima petunjuk dan hidayah dari ALLAH swt. Amal soleh dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana ALLAH. Oleh itu amal soleh mesti berdampingan dengan iman. Bila sudah beriman pasti akan beramal soleh. Adalah mustahil orang yang telah beriman enggan untuk melakukan amal soleh. Orang yang membuat amal soleh tetapi hatinya tidak beriman, amal solehnya adalah tertolak. Orang ini disebut sebagai Munafik.

Kepentingan amal soleh yang didahului oleh iman banyak disebut di dalam al-Qur'an. Berikut ini adalah beberapa contoh dari ayat-ayat al-Qur'an yang menyebut orang beriman dan yang beramal soleh serta balasan bagi mereka:-

* Dari surah al-Kahfi, ﺍﷲ berfirman, yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya KAMI tidak akan sia-siakan ganjaran bagi orang-orang yang memperbaiki amal." -- ayat 30.

"Dan adapun barangsiapa yang beriman dan beramal soleh, maka untuknya adalah ganjaran yang baik." -- ayat 88.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, adalah bagi mereka syurga-syurga Firdaus kediamannya." -- ayat 107.

* Dari surah 84 al-Insyiqaq, Firman  ﺍﷲ  dalam ayat 25, yang bermaksud;

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, untuk mereka ganjaran pahala yang tidak putus-putus."

* Dari surah 85 al-Buruj, ﺍﷲ berfirman dalam ayat 11, yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar."

* Dari surah 98 al-Bayyinah, Firman ﺍﷲ dalam ayat 7, yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk."

* Dari surah 103 al-'Asr, ﺍﷲ berfirman dalam ayat 3, yang bermaksud;

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

3) Berakhlak Baik 

Akhlak yang baik dan mulia disenangi oleh ﺍﷲ  dan manusia. Orang yang membuat amal soleh yang sedikit tetapi mempunyai akhlak yang baik dan terpuji akan mendapat reda ﺍﷲ  lebih dari orang yang beramal soleh siang dan malam tetapi berakhlak buruk. Akhlak buruk akan merosakkan amal soleh seperti cuka merosakkan madu atau seperti api yang memakan kayu kering.

Akhlak seseorang itu tidak diwarisi daripada orangtuanya. Samada akhlak baik atau akhlak buruk adalah datang dari diri seseorang itu sendiri. Akhlak boleh diperbaiki dengan belajar ilmu tasauf. Selalu muhasabah diri dan ingat bahawa segala perbuatan dan perkataan kita akan dihitung kelak di akhirat.

Ada beberapa hadith Rasulullah saw yang mengatakan tentang akhlak buruk :-

* Seorang wanita yang soleh tetapi mengurung kucingnya hingga mati tanpa diberi makanan akan mendapat azab di akhirat kelak.

* Wanita yang siangnya sentiasa berpuasa dan malamnya sentiasa bersembahyang, tetapi suka menyakiti hati jiran dengan lidahnya, dia akan masuk neraka.

* Wanita yang berkata kepada suaminya bahawa dia tidak pernah melihat satu kebaikan pun dari si suami adalah berdosa besar dan terhapus pahalanya 70 tahun walaupun dia seorang wanita soleha.

Walaupun hadith-hadith ini memperkatakan tentang wanita, ia juga boleh ditujukan kepada kaum adam. Para suami atau anak lelaki yang sentiasa beribadat tetapi berakhlak buruk kepada orang lain atau kepada keluarganya sendiri seperti isteri, anak-anak dan orangtuanya tetap akan kerugian kerana amal ibadahnya itu telah dirosakkan oleh akhlaknya yang buruk.

Maka Muslim yang baik itu tidak cukup sekadar beriman dan beramal soleh sahaja tetapi hendaklah menjaga akhlaknya dengan baik. Tiga ciri ini iaitu beriman, beramal soleh dan berakhlak baik mesti ada pada diri dahulu baharulah kita boleh menjadi Muslim yang baik.

Cara mencapai akhlak yang baik :-

Lupakan kejahatan orang ke atas diri kita tetapi sentiasa ingat kejahatan kita ke atas orang lain.

Lupakan kebaikan yang kita telah lakukan kepada orang tetapi selalulah ingat kebaikan orang kepada kita.

Maafkan kesalahan orang kepada kita.

Doakan orang yang memusuhi kta dengan doa yang baik.

Dari Hadith Rasulullah saw, yang bermaksud bahawa hendaklah beri kepada sesiapa yang mengharapkan kamu, sambung (silatulrahim) siapa yang putuskan kamu dan ampun orang yang menzalimi kamu. Sesiapa mampu melakukan semua ini, maka dia adalah ahli syurga.

Sumber: http://kalam-insani.livejournal.com/39220.html