Memanjakan Anak Dan Batas-Batasnya

1 Februari 2016
Gambar Hiasan

Sifat manja adalah sifat semulajadi dalam berkasih sayang.

Ibu dan ayah secara nalurinya akan memanjakan anak-anak dengan cara menimang-nimang, bergurau senda, bermain-main, berkejar-kejaran atau sebagainya.

Si anak-anak pula sejak bayi lagi pandai merengek manja dan meminta dibelai. Apabila besar sedikit, disondol-sondol pula ibu atau bapa dengan penuh manja.

Apabila semakin besar, si anak comel itu makin pandai memanggil ibu dan ayah dengan sungguh mesra.

Maka panggilan itu disahut pula dengan panggilan yang penuh manja. Bahkan anak-anak ini kadang-kadang menangis manja minta disantuni dan diberikan perhatian.


Maka datanglah ibunya mendakap manja bagi memujuk anak yang syahdu itu. Demikianlah indahnya sifat kemanjaan dalam cinta keluarga.

Sifat manja adalah sifat manusiawi.

Jika tiada, maka gersanglah tabiat kemanusiaan. Ia perlu dipupuk dan digunakan untuk membajai kasih dan merapatkan cinta dalam keluarga.

Namun manja memang indah tetapi dalam indah ada pahitnya.

Kemanjaan akan membawa punah jika ia keterlaluan. Tanpa disedari ibu dan bapa mungkin akan merosakkan anaknya jika mereka terlalu memanjakan anak.

TERLALU MEMANJAKAN ANAK DENGAN KEMEWAHAN MELAMPAU

Memberikan apa sahaja yang diingini oleh anak-anak tanpa batas. Kesannya anak-anak akan merasakan bahawa hidup ini terlalu mudah.

Mereka tidak akan memahami keperluan untuk berusaha gigih bagi mencapai sesuatu impian

TERLALU MEMANJAKAN ANAK DENGAN TIADA DISIPLIN

Kasih sayang sepatutnya tidak menjadikan ibu bapa alpa untuk mendisiplinkan anak-anak.

Apabila menyentuh soal disiplin, ibu bapa perlu bertegas dan tidak memanjakan anak dengan menggadai prinsip.

Bertegas tidak bermakna menggunakan cara keras tetapi berprinsip dan jelas.

TERLALU MEMANJAKAN ANAK DENGAN TIDAK MEMBERIKAN TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB

Kadang-kadang terdapat ibu bapa yang terlalu kasihankan anak-anak sehingga enggan memberikan tugas dan tanggungjawab kepada anak-anak.

Hatta, tugas-tugas mudah seperti mengemas bilik, menyapu sampah dan membasuh pinggan pun tidak disuruh anak-anak melakukannya. Padahal tugas sebegini penting kepada mereka untuk berdikari

Anak-anak yang menginap diasrama sekolah biasanya akan terlatih dengan tugas dan tanggungjawab seharian.

Walaupun setiap ibu bapa terasa berat untuk melepaskan anak daripada menghuni rumah sendiri, namun demi kebaikan anak-anak, perasaan gusar itu perlu disingkirkan.

Biar anak merasai sendiri pengalaman mengemas bilik, membasuh, melipat dan menyusun pakaian, menyusun meja belajar dan menguruskan masa dengan berhemah.

TERLALU BERGANTUNG DAN TIDAK MAMPU BERDIKARI

Semakin anak membesar, semakin banyak yang perlu anak-anak berdikari, sama ada dalam soal pendidikan, hubungan sosial, kewangan dan pengurusan diri.

Kasih dan sayang ibu bapa tidak seharusnya menyebabkan latihan berdikari ini diabaikan. Anak-anak perlu didedahkan dengan realiti sebenar kehidupan kerana cabaran dan persaingan hidup masa depan tentu lebih hebat dan mencabar.

TIADA KETAHANAN JIWA

Anak-anak perlukan ketabahan, keteguhan perasaan dan ketahanan jiwa. Sekali-sekala mereka perlu rasa kesusahan dan kesulitan yang biasa dihadapi dalam hidup manusia.

Sekali sekala biarlah anak-anak merasai kesusahan yang biasa dialami oleh orang lain.

Galakkan anak-anak mengikuti program-program seperti kem, tamrin atau kursus kepimpinan supaya keteguhan jiwa anak semakin kuat.

Kesimpulan...

Sebenarnya, latihan ibadah dalam Islam juga mempunyai ciri-ciri yang dapat membina kekuatan jiwa, agar anak-anak tidak terlalu lemah dan manja.

Contohnya, ibadah berpuasa satu latihan hebat yang menjadikan anak-anak teguh semangat, punya keyakinan diri, membara keazaman dan sanggup menggendong amanah.

Keazaman anak-anak untuk menahan diri daripada makan dan minum serta kesanggupan mereka untuk menanggung keletihan secara sukarela merupakan satu latihan yang efektif.

Tidak terlalu memanjakan bukan bermakna anda boleh mengabaikan kebajikan anak-anak. Tidak juga bermakna mereka perlu dimarahi dan diabaikan.

Hakikatnya mereka amat perlukan belaian dan kasih manja. Cuma kasih manja itu biarlah sesuai dan tidak melampau-lampau.

Bahkan sebaliknya sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu keras, tegas tidak bertempat dan tidak mempamerkan kasih sayang juga boleh menyebabkan anak-anak hilang keyakinan diri.

Hal ini berlalu kerana mereka berasa tidak selamat dan hilang tempat untuk bergantung harap.

Sumber: www.tudungsicomel.com/usah-terlalu-memanjakan-anak/