5 adab, kaedah sambut kelahiran bayi dalam Islam

2 September 2015

Allah SWT berfirman dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50: “Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.”

Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana dikurniakan anak. Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu ibadat. Sebagai contoh, adab menyambut kelahiran, antaranya;

Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan tahniah.


Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ulama’ iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”

Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.” Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.

Hendaklah ditahnikkan bayi itu.

Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA: “Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan dipulangkan bayi itu kepadaku).

Mencukur rambut bayi.

Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi daripada Abi Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir, ibunya Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu Rasululullah SAW bersabda: “Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah rambutnya kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya di jalan Allah atau berikan kepada orang musafir.” Kemudian (tahun berikutnya) apabila lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan seperti itu juga. Imam al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih, agaknya Rasulullah SAW mahu mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang kami riwayatkan.”

Melakukan akikah iaitu anak lelaki dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing.

Seperti disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau berkata: “Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.” Demikianlah, wallahua’lam.

Sumber: http://www.islamituindah.my/5-adab-kaedah-sambut-kelahiran-bayi-dalam-islam