Memori Luka Kerana Ibu Bapa Pilih Kasih

1 Ogos 2015

Layanan dan perhatian diberikan, kasih sayang, kehendak dituruti, si anak pasti mengetahui sama ada mereka disayangi lebih ataupun kurang daripada adik-beradik yang lain.

Perbezaan layanan dan perhatian pastinya amat melukakan hati anak-anak kerana diperlakukan sebegitu oleh ibu bapa sendiri. Meskipun hampir semua ibu bapa menegaskan mereka memberikan kasih sayang yang sama rata kepada anak-anak, hakikatnya keadaan pilih kasih tetap ada.

Kebanyakan ibu bapa melakukan kesilapan dengan membezakan kasih sayang berdasarkan kecantikan, kepandaian dan kepintaran, kesempurnaan fizikal dan mental dan pelbagai kelebihan lain yang mungkin tidak ada pada diri anak yang lain.


Disebabkan itu, anak yang menjadi mangsa perbezaan kasih sayang kebiasaannya:

Berasa kehilangan tempat berpaut, tempat perlindungan dan rasa tidak diperlukan lagi dalam keluarga.

Sentiasa memendam rasa dan sering menumpukan perhatian kepada kekurangan diri di samping memikirkan sebab yang membuatkan ibu bapa tidak menyayangi mereka.

Mereka akan cuba melakukan sesuatu untuk menarik perhatian ibu bapa tetapi malangnya setiap tindakan dilakukan si anak sering dianggap tidak betul dan menyalahkan mereka sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini.

Sementara itu, bagi si anak yang mendapat limpahan kasih sayang daripada ibu bapa pula akan merasakan diri mereka lebih istimewa kerana sering dihargai.

Oleh itu, ia boleh menimbulkan rasa bangga dan ego, manakala anak yang kurang mendapat kasih sayang akan berasa iri hati, dengki, rendah diri, benci dan dendam terhadap adik-beradik lain termasuk ibu bapa sendiri.

Malah permusuhan mungkin akan timbul disebabkan tidak ada penyatuan dan penyesuaian jiwa antara adik-beradik seperti menyakiti sesama sendiri, menyorok atau mengoyakkan buku atau pakaian, menuduh orang lain membuat kesilapan yang dilakukannya atau seumpamanya hingga menimbulkan kemarahan ibu bapa.

Kehadiran anak adalah aset yang perlu dijaga sebaik-baiknya dan dididik secara sama rata dan dengan penuh kasih sayang.

Sikap adil ditunjukkan ibu bapa akan memberi ruang kepada kehidupan berkeluarga yang lebih harmoni dan dipenuhi dengan rasa hormat menghormati dan saling menyayangi.


Antara panduan yang boleh dilakukan untuk menanganinya: 

Pandang si anak dengan pandangan kasih bukan sebaliknya. Walau sekecil manapun anak tadi, mereka boleh berasakan tahap kasih sayang yang ditunjukkan ibu dan bapa.

Jangan sesekali membezakan kasih sayang antara anak. Setiap anak mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Ibu bapa perlu menyedari bahawa anak memiliki perasaan dan berjiwa halus oleh itu belajar selami hati dan perasaan si anak.

Setiap anak adalah unik oleh itu belai dan bangunkanlah ciri keunikan anak itu agar lebih terserlah.

Ibu bapa perlu bijak melihat dan mengenal pasti potensi yang ada dalam diri setiap anak. Namun kebanyakan ibu bapa hanya mampu melihat potensi anak dari segi lahiriah saja.

Ibu bapa tidak boleh menunjukkan dengan ketara rasa kasih kepada seseorang anak dan meninggalkan anak yang lain. Walaupun ada antara mereka yang lebih disayangi, tetapi perasaan kasih itu jangan ditonjolkan secara keterlaluan.

Ibu bapa harus memainkan peranan dalam membantu menyerlahkan potensi anak.

Beri ganjaran dan teguran dengan adil antara semua anak. Jika anak melakukan yang baik, bagi perangsang dan pujian atau hadiah dan jika sebaliknya perlu ditegur dengan baik.

Ibu bapa juga tidak wajar sama sekali menggunakan ayat yang boleh mengguris hati kecil si anak.

Penggunaan konsep pengajaran secara diktator tidak membantu menjadikan si anak seorang yang bijak, mampu berdikari dan pandai menyelesaikan masalah secara sendiri. Sebaliknya perkara bertentangan boleh berlaku.

Penggunaan ayat sindiran kepada anak yang kurang disayangi juga perlu dielakkan.

Ibu bapa perlu sentiasa menyebut perkataan baik yang positif dan mengingatkan anak peranannya dalam usaha membentuk kekuatan jiwa anak.


Panduan menjadikan anak antara insan terbaik: 

Mulakan hidup anak dengan panggilan yang baik.

Berikan anak pelukan setiap hari.

Jangan mengharap lebih daripada apa yang anak mampu lakukan.

Antara masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga.

Jangan sesekali mengeluh dalam mendidik dan membesarkan anak. Elakkan daripada mengungkit apa yang anda sudah lakukan untuk membesarkan anak-anak kerana itu adalah tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Tenangkan anak setiap kali mereka memerlukannya.

Luangkan lebih masa bersama anak.

Berikan ciuman selamat malam setiap kali sebelum tidur. Jadikan ia sebagai amalan.

Jangan sesekali membawa bebanan kerja ke rumah.