Bilakah Kanak-kanak Mula Berpuasa?

18 Jun 2015 

RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda (mafhūmnya): “Telah diangkat qalam daripada tiga perkara (iaitu) : daripada kanak-kanak hingga dia (dikira) dewasa, dan daripada orang yang tidur hingga dia jaga, dan daripada orang gila hingga dia waras.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Aḥmad, Abū Dāwūd, Nasā’īy, Ibnu Mājah, dan Al-Ḥākim daripada ‘Ā’ishah r.‘a dengan isnād sahih, dan ia juga diriwayatkan oleh Imam Aḥmad, Abū Dāwūd dan Al-Ḥākim daripada ‘Alīy dan ‘Umar r.‘a dengan lafaz-lafaz yang saling berdekatan , meskipun melalui jalan (periwayatan) yang pelbagai, yang menguatkan antara satu sama lainnya)

Maksud telah diangkat qalam ialah terhalang taklif – iaitu mereka (kanak-kanak) bukanlah golongan mukalaf – melainkan Islam ialah dīn yang memelihara tabiat manusia yang mahu memulakan (didikan) anak-anak kecil bertujuan melatih mereka dengan ibadat dan ketaatan (kepada AlLāh). (Misalnya) terdapat hadith mengenai solat : “Ajarlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka enggan) apabila mereka berusia sepuluh tahun.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Aḥmad, Abū Dāwūd dan Al-Ḥākim daripada ‘AbdulLāh bin ‘Amr ibn-ul-‘Ās)

Melatih kanak-kanak berpuasa secara bertahap tanpa paksaan

Dan, puasa juga ibadat dan fardu seperti solat. Maka, wajiblah seseorang itu melatih anak-anak berpuasa, tetapi pada usia berapa tahun? Bukanlah suatu yang perlu untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun (mula) berpuasa, kerana puasa itu lebih berat daripada solat .Jadi, perkara ini bergantung kepada kemampuan kanak-kanak. Sekiranya ibu bapa mendapati anaknya mampu berpuasa, meskipun dia melakukannya beberapa hari (sahaja) pada setiap bulan (Ramadan), maka hendaklah ibu bapa melatihnya seperti itu setahun demi setahun. Misalnya, (puasa Ramadan) tahun (ini) dia (mampu) berpuasa tiga hari, manakala pada tahun berikutnya dia berpuasa seminggu, kemudian dua minggu dan sehinggalah dia mampu berpuasa sebulan keseluruhannya.

Dalam hubungan ini, apabila kanak-kanak tersebut telah mencapai had baligh iaitu masa taklif, maka mudahlah baginya melakukan ibadah puasa dan ianya tidak membebankannya (disebabkan latihan yang pernah dilaluinya sebelum ini – pent.). Inilah kaedah pendidikan Islam yang dimulakan sejak kanak-kanak lagi dengan adab-adab Islam dan ibadah fardu sehinggakan dia dapat membiasakan dirinya.

Kesimpulannya, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga kanak-kanak untuk membiasakan mereka dengan puasa dan solat. Bersolat hendaklah dimulai sejak umur kanak-kanak tujuh tahun dan memukul mereka di usia sepuluh tahun (sekiranya mereka enggan bersolat). Manakala, puasa pula bergantung kepada kemampuan kanak-kanak meskipun ianya melepasi usia tujuh tahun atau lebih. Maka, apabila ibu bapa atau penjaga mendapati kemampuan kanak-kanak untuk berpuasa, pada ketika itu mereka hendaklah menyuruh kanak-kanak berpuasa.

Nota:

*Terjemahan bebas daripada tulisan Shaykh Profesor Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy http://qaradawi.net/component/content/article/1638.html

Sumber: https://mohdtarmizi.wordpress.com/2012/08/02/bilakah-kanak-kanak-mula-berpuasa/