Mehnah Mencorak Kain Putih

1 Mac 2015

Memang naluri seorang ibu akan menegur anaknya apabila anaknya itu melakukan kesilapan atau tidak mendengar cakapnya. Dan sering juga kita dengar ungkapan “ibu marah kerana sayang”.

Namun masih adakah sifat “sayang” itu apabila keluar ayat-ayat seperti:

“Kau ni anak derhaka betol!”

“Tak reti kenang jasa punya anak!”

“Menyesal aku lahirkan kau!”

Pernahkah kita terfikir mengapa anak-anak ini menjadi sebegitu? Mengapa mereka tidak mendengar cakap ibu bapa mereka dan mengapa mereka sering dipersalahkan? Adakah memang benar anak-anak itu yang bersalah sepenuhnya dan mereka memang layak dimarahi?

Sudah lupakah kita kepada hadis Nabi SAW: “Anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi nasrani, yahudi ataupun majusi”.

Hadis itu jelas menunjukkan bahawa bayi yang lahir adalah suci daripada mana-mana sifat yang tercela. Mereka tidak dilahirkan dengan membawa satu pun sifat-sifat terkutuk yang ada pada seorang anak derhaka. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan kain putih itu dengan warna-warna yang indah dan sedap dipandang mata, yakni mendidik anak-anak mereka dengan sifat-sifat dan akhlak yang terpuji.

Apabila ibu bapa gagal mendidik anak-anak pada peringkat awal sehingga anak-anak sudah terlalu liat untuk dididik, apakah kita masih mahu menyalahkan sepenuhnya kepada anak-anak? Mengapa kegagalan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka tidak pula dipersoalkan? Mengapa ibu bapa meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada anak-anak mereka dan tidak pula sedar bahawa ianya adalah salah mereka sendiri?

Analoginya adalah seperti ini. Anda dihadiahkan dengan sebuah kereta. Namun anda tidak pernah menjaga kereta itu dengan baik sejak hari pertama lagi. Luar kereta itu tak pernah dicuci. Dalamnya tak pernah di”vacuum”. Cermin tak pernah dilap. Minyak hitam tak pernah di”check”. Beberapa bulan selepas itu, kereta itu rosak.

Adakah anda akan menyalahkan kereta anda kerana ia sengaja merosakkan dirinya sendiri? Ataupun anda ingin menyalahkan diri anda sendiri kerana gagal menjaganya dari awal-awal? Ataupun yang lebih ekstrem, anda ingin menyalahkan pengeluar kereta itu? Samalah seperti menyalahkan Allah kerana mendapat anak yang derhaka. Sangatlah terkutuk tindakan seperti itu.

Jika anda merupakan antara anak-anak yang telah menjadi mangsa kecuaian ibu bapa, janganlah pula menyimpan dendam terhadap mereka, dan janganlah pula jadikannya alasan untuk anda berbuat jahat terhadap mereka. Sebaliknya, ambillah pengajaran daripada pengalaman anda itu, dan jangan ulanginya dengan anak-anak anda.

Namun jika sudah dididik sejak bayi lagi, tetapi masih ingkar dan degil, maka bukanlah salah ibu bapa. Sesungguhnya “iman tak dapat diwarisi”. Pasti ada hikmah disebaliknya. Teruskan berdoa, memohon sepenuh-penuhnya pada Allah agar dilembut dan dibukakan hati anak-anak itu.

Allahumma solli ala Muhammad wa ala aali Muhammad

Sumber:  http://syahadahalhaq.blogspot.com/2013/08/mencorak-sehelai-kain-putih.html