Langkah Asas Tapi Berkesan Mendidik Anak Perempuan Bertudung

5 Oktober 2014

Ibu bapa yang membiarkan anak-anak perempuan mereka tidak bertudung adalah mereka yang RUGI.

Ya, rugi besar. Mengapa?

Ibu bapa ini akan rugi kerana pada waktu usia kecil inilah merupakan waktu yang paling mudah untuk kita mentarbiyah atau membiasakan mereka dengan bertudung dan mematuhi perintah agama.

Kadang-kadang ada ibu bapa yang beranggapan anak-anak dididik dari kecil untuk bertudung, maka apabila besar nanti mereka akan memberontak dan buka tudung kerana selama ini mereka rasa terpaksa atau dipaksa.


Benarkah perkara ini?

Disinilah letaknya kebijaksaan kita sebagai ibu bapa dalam mendidik anak perempuan. Itulah sebabnya tanggungjawab ini besar dan memerlukan seni. Mengapakah timbul isu “dipaksa bertudung?” Mungkin ia sebenarnya cara implementasi kita dalam menerapkan kewajipan bertudung dalam diri anak-anak.

Sebenarnya ada beberapa perkara “asas” yang perlu kita tanamkan pada diri anak-anak sejak dari kecil, bukan hanya sekadar menyuruh anak bertudung. Mari kita teliti perkara ini:
1. Budayakan  bertudung dalam keluarga

Ibu sangat memainkan peranan dalam bab ini

Ibu merupakan contoh terbaik dan dilihat oleh anak-anak pada setiap masa. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu untuk menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam menjaga aurat dan pemakaian tudung.

Sila titikberatkan soal ini. Pernah saya jumpa seorang ibu bila berada diluar rumah (waktu bekerja) memakai tudung dan pakaian yang menutup aurat, tetapi apabila berada dirumah langsung tidak mengenakan tudung apabila menerima kunjungan tetamu (terdapat lelaki bukan muhrim).

Adakah ini boleh contoh yang baik kepada anak lantaran kekeliruan ibu sendiri mengenai aurat dan soal bertudung? Pastinya tidak.

Pastinya menutup aurat perlu kepada pembudayaan di dalam keluarga.

Walaupun Islam mengajar solat perlu dilatih ketika usia 7 tahun, tetapi penerapan dan pembudayakan bermula sejak dari kecil lagi oleh ibu bapa.

Maka terapkanlah pembudayaan dari kecil dengan pakaian yang bersesuaian, dan bukan pada galakan dengan pakaian yang bukan sahaja tidak proper. Legging contohnya.

Mulakan dengan anak sulung lagi, insyaAllah adik-adiknya yang seterusnya akan mengikut kakaknya. InsyaAllah selepas itu proses mentarbiyah anak bertudung akan menjadi lebih mudah

Pasti apa yang kita terapkan sejak dari kecil dalam jiwa anak-anak akan membekaskan hasil yang baik.
2. Step by step. Lakukan secara bertahap

Segala perkara untuk mendidik perlulah dimulakan secara sedikit-sedikit atau step by step, tidak boleh sekaligus. Inilah salah satu seni dalam mendidik

Sebagai contoh, cuba lihat perintah solat, wajibnya ketika baligh. Tetapi dari usia 7 tahun sudah perlu dilatih, 10 tahun sudah boleh dipukul jika tidak bersolat. Begitu jugalah halnya dengan bertudung.

Jadi berapa tahun perlu dimulakan untuk anak mula memakai tudung?

Sebenarnya dari usia 3-4 tahun sudah boleh untuk mula dilatih untuk bertudung. Tetapi bukanlah perlu bertudung terus sepanjang masa.

Tidak mengapa, jika kita biarkan mereka tidak bertudung disebabkan mereka mungkin ‘rimas’ dan ‘panas’ selepas beberapa ketika. Jangan menggugut atau memarahi mereka jika mereka tidak mahu pada waktu ini, namun selitkan kata-kata nasihat bahawa nanti besar mereka perlu bertudung dan mengigatkan mereka tentang dosa dan pahala

Mungkin selepas umur mereka meningkat (7-8 tahun), kita boleh tingkatkan lagi pemakaian yang menutup aurat pada diri anak. Tidak semestinya mereka perlu memakai terus seperti orang dewasa yang menutup aurat, tetapi lakukan secara bertahap ke arah itu. Mungkin anak kecil lebih selesa memakai seluar disebabkan sifat mereka yang aktif dan suka bermain

Tetapi pastikanlah anak kita berseluar panjang atau berstokin panjang di sebalik skirt dan gaun comel mereka. Ini penting agar anak-anak terdidik sejak sejak kecil untuk bersikap malu  sejak dari kecil
3. Galakan dan rangsangan itu sangatlah penting

Berikan galakan dan motivasi kepada mereka. Buatkan mereka rasa gembira dan bersemangat

Belikanlah tudung yang cantik-cantik dan mudah pula dipakai oleh si anak.

Teknik pujukan dengan membelikan tudung yang cantik dan menarik perhatian mereka sudah banyak diakui oleh ibu bapa diluar sana membantu mereka dalam proses memperkenalkan tudung kepada anak-anak kecil.

Yang paling penting, pastikan tudung itu selesa dipakai agar mereka mudah “melekat” dengan budaya baru yang ingin diterapkan

Pujilah mereka bila setiap kali mereka bertudung. Usahlah dimarahi atau dipaksa jika si kecil tidak mahu bertudung, lakukanlah secara perlahan-lahan dan secara lembut.

Berikan hadiah

Jika mereka berjaya bertahan untuk bertudung secara tetap selama 3 hari contohnya, mungkin ibu bapa boleh memberikan hadiah supaya mereka merasa gembira dengan apa yang mereka buat (bertudung). Terangkan pada mereka jika mereka istiqamah bertudung, Allah akan memberikan hadiah yang lebih istimewa kepada mereka

Timbulkan minat dan rasa cinta dahulu, Insha Allah, kesannya akan lebih lama dan berkesan.

 ********

Kejayaan sesuatu keluarga itu banyak bergantung kepada kesungguhan ibu bapa yang mencoraknya.

Jika ingin melihat kejayaan anak-anak, kita hendaklah mengambil berat semua tentang agama dan pelajarannya, selalu menghargai setiap kejayaan anak-anak itu walaupun dengan hadiah yang tidak seberapa.

Akhir kata, sebagaimana acuan, begitulah bentuknya, hanya ibu bapa yang boleh menentukan anak-anak.

Sumber: http://tudungsicomel.com/langkah-mendidik-anak-bertudung/