Operasi Besar-besaran Kesan Taska Tidak Berdaftar

20 Feb 2014

PUTRAJAYA 17 Feb. - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menggerakkan operasi besar-besaran untuk mengesan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang belum berdaftar di seluruh negara.


Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, operasi pemutihan tersebut akan dijalankan secara mengejut bagi mengesan taska yang belum mendaftar seperti yang ditetapkan dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

"Kita mengadakan operasi pemutihan ini bukan bertujuan untuk menghukum tetapi mengatasi kekangan dan mengetahui masalah kenapa masih terdapat taska yang tidak berdaftar.

"Kita bukan tidak mahu ambil tindakan tegas dengan terus menutup operasi tetapi kesan negatif akan dihadapi oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka kerana perlu mencari taska lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tiga buah taska di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.

Menurut Rohani, sehingga kini terdapat sebanyak 3,172 taska berdaftar di seluruh negara dan jumlah tersebut masih tidak mencukupi dengan keadaan semasa.

Mengulas lanjut katanya, langkah mendaftar bukan sahaja memberi keselesaan dan keselamatan kepada kanak-kanak yang dihantar malah taska berdaftar juga layak menerima beberapa insentif daripada kerajaan antaranya subsidi yuran asuhan kanak-kanak dan yuran kursus asuhan Permata.

"Malah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke taska berdaftar juga layak menerima insentif sebanyak RM180 sebulan untuk penjawat awam dan RM250 untuk pekerja swasta.

"Selain itu, bagi mengatasi masalah kekurangan taska, kerajaan juga menyediakan insentif sebanyak RM200,000 kepada mana-mana pengusaha yang layak untuk menyediakan pusat penjagaan itu," katanya.

Mengulas tentang lawatan mengejut itu, beliau berkata, dari tiga taska yang dikunjungi, sebuah daripadanya dikesan tidak berdaftar dan telah diberikan peringatan untuk mendaftar dalam tempoh dua minggu.

Sumber: www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140218/dn_14/Operasi-besar-besaran-kesan-taska-tidak-berdaftar