Jangkitan Fungal (Trush) Mulut Bayi

8 Jun 2012


Imej penyakit mulut bayi 'Trush' (Fungal)

Petikan dari artikel http://bidanbersalin.blogspot.com

Bayi atau kanak-kanak yang mengalami jangkitan mulut akan berasa sakit di dalam mulutnya, dengan itu penyusuan akan menyakitkannya. Istilah melayu 'seriawan' (tompok putih di lidah dan lelangit) sering dikaitkan dengan bayi.

Kanak-kanak yang berusia lebih daripada setahun cenderung mengalami lepuhan selsema, biasanya pada atau sekeliling bibir, tetapi adakalanya di dalam mulut.


Cara Membantu
Jika mulut anak sakit, jadikan waktu makan dan minumnya tidak menyakitkan. Sejukkan makanan panas terlebih dahulu sebelum memberikan makanan itu kepada anak kerana makanan panas, umumnya menyakitkan berbanding makanan sejuk. Beri anak minuman sejuk dengan banyak, jika tidak mahu biarkan anak menggunakan straw untuk menyedut minuman dari cawan.

Makanan Terbaik Untuknya
Sup yang berkhasiat dan mudah dimakan, boleh dihidangkan sejuk. Sebagai pilihan cairkan makanan atau potong halus.

Minuman sejuk, tetapi elakkan jus buah-buahan kerana ia terlalu berasid.

Aiskrim adalah pilihan tepat kerana ia sedap dan sejuk.

Keju, galakkan anak makan keju dan minum air selepas makan untuk membantu membersihkan giginya tanpa perlu digosok.

Apa Puncanya
Seriawan sejenis jangkitan disebarkan oleh yis yang hidup dalam mulut dan usus. Yis ini biasanya dikawal oleh bakteria, adakalanya berganda di luar kawalan sehingga menyebabkan ruam yang menyakitkan.

Gejala
Anak enggan makan atau menyusu disebabkan sakit mulut.

Terdapat tompok berwarna kekuningan berkrim di sebelah dalam pipi, lidah atau lelangit yang tidak mudah hilang jika anda cuba mengelapnya.

Mungkin juga berlaku di bahagian dubur seperti ruam lampin.

Apa Boleh Anda Bantu
Lapkan tompokan dalam mulut anak perlahan-lahan menggunakan sehelai sapu tangan yang bersih. Sekiranya tompok itu tidak tanggal dengan mudah, anak anda mungkin mengalami seriawan. Jangan gosok dengan kuat bimbang kesan tompakan yang kerap anda lap itu akan berdarah dan menyakitkan bayi.

Berikan anak makanan yang mudah dimakan. Sekiranya dia menyusu botol, beli puting susu yang lebih lembut dan sentiasa bersihkannya dengan cermat. Sterilkan puting setiap kali selepas penyusuan.

Sekiranya anak menyusu badan, teruskan penyusuan seperti biasa tetapi lebih berhati-hati tentang kebersihan puting untuk mengelakkan puting anda dijangkiti. Cuci puting anda menggunakan air, bukan sabun selepas penyusuan bayi. Jangan pakai pelapik payudara. Sekiranya puting berasa sakit atau mengalami tompok putih, minta nasihat doktor.

Jika anda pasti anak mengalami seriawan, anda perlu membawanya segera mendapatkan rawatan. Doktor mungkin memberikan ubat untuk dititiskan ke dalam mulut bayi sebelum penyusuannya, atau gula-gula berubat untuk dihisap kanak-kanak yang berusia dua tahun ke atas.

Sumber: http://bidanbersalin.blogspot.com/2010/04/jangkitan-mulut-bayi.html


Lagi Artikel berkenaan Jangkitan Fungal di Mulut Bayi


Oleh Dr Zubaidi bin Ahmad (09/02/2011)


Saya pernah didatangi oleh sepasang suami isteri yang mengadu anak mereka mengalami keputihan di dalam mulut. Bayi yang berumur 3 bulan itu menangis ketika saya memeriksanya.

Mulut dan bibirnya agak kering. Bila dia menjerit, saya mengambil kesempatan untuk melihat keadaan di dalam mulutnya.

Keputihan itu seakan-akan kepingan ’susu basi’ melekat di lidah, bahagian dalam mulut dan lelangit. Bahagian mulutnya telah menjadi kering dan kemerah-merahan. Sungguh menyedihkan.

Bagaimana keadaan jangkitan fungal di mulut bayi?
Jangkitan kulat di dalam mulut bayi dinamakan thrush. Banyak faktor yang menyebabkan jangkitan fungal itu. Pakar kanak-kanak mengatakan antara sebabnya ialah belum ada keseimbangan hormon apabila bayi mula mengeluarkan hormonnya sendiri.

Saya juga suka menasihatkan para ibu yang menyusukan anak  agar berhati-hati dengan penggunaan antibiotik atau ubatan herba yang dipindahkan melalui susu ibu. Bayi yang breastfeeding mudah dilanda jangkitan ini jika ibunya mengamalkan ubat-ubatan tanpa nasihat doktor atau memakan herba (atau jamu) untuk melangsingkan badan.

Oleh kerana keputihan yang disebabkan oleh jangkitan fungal ini serupa dengan saki-baki susu, jadi bagaimana mahu membezakan?
Saki baki susu hanya menyebabkan keputihan di bahagian atas lidah saja. Tetapi jangkitan fungal thrush akan menyebabkan keputihan di seluruh bahagian dalam mulut, iaitu lidah, lelangit dan bahagian pipi dalam (buccal mucosa).

Thrush juga menyebabkan kesakitan kerana terdapat bengkakan (radang) di situ. Jadi bayi akan menangis kerana sakit ketika menyusu (sama ada botol atau breastfeeding).

Ibubapa juga boleh mencuba teknik ini. Masukkan jari yang dibalut dengan saputangan yang basah. Cuba sentuh dan alihkan keputihan itu. Jangkitan fungal thrush, susah ditanggalkan. Jika ia tanggal, kemungkinan meninggalkan luka atau sedikit pendarahan.

Jika keputihan itu boleh ditanggalkan tidak perlulah berjumpa doktor. Berikan saja banyak air masak kepada bayi, insya Allah akan hilang perlahan-lahan.

Jika kita mengesyaki bayi kita mengalami jangkitan fungal, maka berjumpalah doktor. Selalunya doktor akan memberikan ubat anti fungal yang harus dititikkan ke dalam mulut bayi. Bagi bayi yang breastfeeding, ubat itu boleh disapukan ke puting ibu sebelum menyusukan bayi.

Apakah langkah-langkah yang perlu untuk mengelakkan jangkitan fungal ini?
Jangkitan fungal ada kalanya memeningkan kepala kerana banyak sebab jangkitan ini boleh berlaku. Ada bayi yang mudah mengalaminya berbanding dengan bayi yang lain.

Dibawah ini ada beberapa tips yang mudah diamalkan untuk mengelakkan jangkitan fungal ini.

Antaranya ialah :
memberikan air masak selepas menyusukan bayi. Ini akan menanggalkan saki-baki susu yang mungkin tertinggal di ruang mulut. Saki-baki ini akan memudahkan jangkitan fungal.

Jika menyusukan anak secara breastfeeding, pastikan puting ibu dibersihkan dulu. Puting yang lembab di dalam bra selalunya menyebabkan jangkitan fungal.

Bersihkan puting botol menggunakan air yang mendidih sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Jika puting di payudara merekah, jangan sapukan krim antibiotik kecuali atas nasihat doktor. Bayi anda mungkin akan menyusu pada sebelah yang disapukan antibiotik tanpa disengajakan.

Jika bayi sakit, pastikan antibiotik yang diberikan kepada bayi anda adalah atas nasihat doktor. Penggunaan antibiotik yang terlalu lama juga boleh menyebabkan jangkitan ini.

Jika anda sendiri sakit dan memberikan susu secara breastfeeding, pastikan anda telah memberitahu doktor. Ada sesetengah antibiotik boleh sampai ke bayi melalui susu ibu.

Jika tidak pasti sama ada anak anda mengalami jangkitan fungal atau hanya mengalami keputihan disebabkan oleh saki-baki susu yang tertinggal, bawalah berjumpa doctor. Jangan membeli ubat dari farmasi kerana kebanyakan yang menjaga kaunter farmasi hanyalah ‘pembantu kedai’ yang tiada pengetahuan perubatan.

Adakah thrush merbahaya jika tidak dirawat?
Jangkitan fungal thrush tidaklah sampai menyebabkan kematian. Cuma masalahnya ialah apabila jangkitan ini menyebabkan kesakitan pada mulut. Bayi akan kerap menangis dan tidak mahu menyusu. Ini akan menyebabkan dehidrasi pada bayi.

Bayi juga boleh mengalami demam akibat dehidrasi. Doktor selalunya akan memberikan bayi ubat paracetamol untuk melegakan kesakitan dan mengurangkan demam, selain daripada ubat antifungal.

Jika bayi mengalami demam yang semakin tinggi melebihi 101 darjah F / 38.2 darjah C, dan keputihan itu tidak berkurangan dalam masa seminggu, selalunya keputihan itu disebabkan oleh jangkitan kuman yang berbeza. Bukan lagi jangkitan fungal.

Jika bayi mengalami jangkitan fungal tentulah memenatkan ibubapa yang menjaganya. Kita merasa kesian melihat bayi yang menangis dan tidak boleh menyusu, tetapi janganlah putus asa memberikan rawatan. Semoga Allah memberikan kesabaran atas kesabaran kita.

Wallahu a’lam.

Sumber: http://drzubaidi.com/blog/?p=1395