Sepintas lalu dari meja editor YADIM

29 Mei 2012

Peranan Ibu Bapa
Ehsan dari Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM)

Setiap insan yang berpasangan pasti mengimpikan agar dikurniakan anak-anak bukan sahaja sebagai penyeri rumah tangga malah lebih tepat sebagai penyambung zuriat dan keturunan. Menyedari hakikat ibu bapa sebagai pemegang amanah, mereka harus memainkan peranan dengan baik dan konsisten.

Terdapat pelbagai jenis buku ditulis bagi memberi panduan kepada ibu bapa dalam menghadapi dunia keibubapaan. Sedari penjagaan bayi dalam kandungan, menamakan bayi dengan nama yang baik, panduan penjagaan bayi selepas dilahirkan sehingga bayi berusia akil baligh, serta panduan bagi psikologi ibu bapa dalam mendidik anak-anak.


Tidak terlupakan juga banyak bengkel dan seminar-seminar diadakan untuk ibu bapa menangani konflik dalam penjagaan anak-anak. Pelbagai medium terutama medium berbentuk teknologi dan ciptaan moden diwujudkan bagi membantu ibu bapa memainkan peranan sebaiknya dalam usaha memanusiakan anak-anak mereka.

Al-Quran sendiri memainkan tanggungjawab yang besar dalam mengingatkan ibu bapa tentang peranan mereka mendidik anak. Begitu juga peranan anak terhadap ibu bapa serta hubungan baik sesama manusia.

Kelalaian ibu bapa tidak harus digaduhkan atau dipanjang-panjangkan. Terutama apabila si anak melakukan sesuatu yang tidak baik. Ungkapan ‘bukan salah ibu mengandung’ seringkali diluahkan oleh ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak. Memang bukan salah ibu mengandung sehingga terlahir anak yang begitu atau begini. Namun, kesilapan kecil ibu bapa dan kelekaan yang mereka lakukan tidak harus diambil ringan dan dilupakan begitu sahaja.

Antara kelekaan ibu bapa yang sering berlaku adalah ;

1. Kurang berdoa semasa mengandung dan membesarkan anak. Banyak doa yang boleh diamalkan seperti doa Saidul Istighfar, memohon rahmat, memohon zuriat yang baik dan sebagainya.

2. Memberi ajaran tarhib (menakutkan) daripada targhib (dorongan atau motivasi). Biasanya ibu bapa mengambil jalan mudah dengan menakut-nakutkan anak dengan sesuatu agar anak mendengar kata-kata mereka. Antara perkara tarhib yang mereka gunakan ialah menakutkan anak dengan hantu, binatang yang berbisa dan sebagainya.

3. Tidak tegas dalam mendidik anak-anak iaitu tidak mendisiplinkan anak-anak dengan hukum agama terutamanya solat dan aurat sejak mereka kecil.

4. Menegur anak secara negatif dengan menggunakan kata-kata yang kasar dan menjatuhkan maruah mereka. Hal ini harus dielakkan kerana kata-kata ibu dan bapa merupakan doa buat anak mereka.

5. Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani, rohani dan intelektual.

6. Kurang memberi sentuhan kepada anak-anak seperti menghabiskan masa yang berkualiti untuk anak-anak kerana sibuk bekerja.

7. Penampilan diri ibu bapa yang tidak manis untuk anak-anak. Walaupun punya talian darah, etika berpakaian tetap harus dijaga dan batas pandangan antara anak dan ibu bapa harus dipelihara.

8. Institusi kekeluargaan yang tidak harmoni menyumbang peribadi yang tidak seimbang dalam jiwa anak-anak.

9. Tidak mengawasi aktiviti anak-anak. Ibu bapa tidak mengambil tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak di luar rumah, rancangan yang ditonton di televisyen dan sebagainya.

10. Memberi tanggungjawab memelihara anak kepada pembantu rumah sedangkan ibu bapa telah diamanahkan oleh ALLAH  SWT  untuk memelihara dan mendidik anak-anak.

Melihat kepada beberapa kelekaan yang telah dilakukan oleh ibu bapa masa kini, jika tidak ditangani, tidak mustahil setiap hari kita akan membaca berita tentang tingkah laku anak-anak yang tidak masuk akal.

Selalunya anak-anak yang menerima pendidikan dan persekitaran yang tidak baik akan menunjukkan sikap sebenar mereka apabila mereka berada di alam persekolahan atau menginjak usia remaja. Tidak hairan, kebanyakan kes jenayah melibatkan usia remaja. Ini termasuklah anak-anak remaja yang terlibat dalam kes mencuri, mencederakan orang lain, dadah, seks rambang, pembuangan anak dan paling memilukan jenayah berat seperti membunuh dan sebagainya.

Apabila membaca berita begini, terlintas di fikiran kita tentang pengaruh-pengaruh luar yang menyebabkan anak-anak menjadi liar dan tidak terkawal. Ya, pengaruh dari persekitaran memang tidak dapat dihalang. Namun, seperti yang diberitakan sejak awal bahawa keikhlasan menjalankan amanah sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak akan membantu mereka menggunakan akal dalam menerima atau menolak pengaruh yang mendatangi mereka.

Anak-anak umpama kain putih. Ibu bapa adalah pencoraknya. Apabila anak-anak dewasa, mereka akan cuba mengubah atau menokok tambah corak yang telah dilakarkan. Jika corak yang dilukis sedari awal oleh ibu bapa merupakan corak kelekaan, maka apabila si anak dewasa, corak kelekaan itu akan merugikan anak-anak kecuali anak tersebut bijak berfikir dan mencorakkan sendiri kehidupan mereka dengan corak yang bermakna.

Membentuk manusia bukan dengan menghantarnya ke sekolah semata-mata. Setinggi atau selama mana manusia bersekolah, tidak akan mampu mengubah sikap buruknya jika akar umbinya iaitu iman tidak ditanam sedari kecil. Malah sedari awal pembentukan manusia di dalam rahim ibu, manusia di sekelilingnya terutama ibu bapanya harus mencorak diri mereka dengan corak yang bermakna disulami dengan iman dan akal yang utuh. Dengan demikian, generasi yang terlahir dan membesar kelak adalah generasi yang bermakna dan bermanfaat untuk bangsanya dan agamanya.

Sumber: Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM)