Minda: Melahirkan pelajar pintar

22 Mei 2012

Petikan artikel dari Tabloid Harian Metro
Oleh Dr Aminudin Mansor


Mendapat anak pintar adalah anugerah tidak ternilai daripada Allah. Tidak semua kanak-kanak dilahirkan pintar. Bagaimanapun, anak-anak boleh diasuh dan dididik menjadi pintar, cerdas dan cerdik sejak awal usia lagi. Melalui proses pendidikan sistematik dan ujian, pelajar pintar dapat dikesan dan dikembangkan potensinya. Sekolah sama ada di Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika), sekolah rendah dan sekolah menengah seharusnya juga berusaha melahirkan pelajar pintar.


Pelajar pintar atau genius sebenarnya boleh dididik dan dikembangkan bakatnya kerana ia mempunyai keupayaan ke arah pemikiran kreatif dan kritis. Pelajar pintar biasanya tepat dan bijak dalam berbicara, mempunyai ketepatan berfikir dan ketepatan bertindak. Mereka dapat dididik dan membesar dengan sempurna daripada segenap sudut iaitu fizikal dan spiritual. Salah satu kejayaan terbesar guru di sekolah adalah melahirkan ramai pelajar pintar.



Anak-anak yang pintar dan cerdik ibarat permata hati ibu bapa. Tetapi, jika mereka tidak dididik dengan baik dan sempurna, anak-anak ini yang mempunyai potensi cerah pada masa depan akan terbiar dan tidak dipedulikan sesiapa. Ramai anak-anak pintar terdiri daripada kalangan ibu bapa miskin terbiar tanpa mendapat bimbingan dan didikan sempurna. Melalui didikan sistematik dan terancang, guru boleh memainkan peranan melahirkan pelajar pintar.

Salah satu program yang diusahakan sekarang ialah Program Permata Pintar telah dimulakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak 2008 untuk mengenal pasti pelajar pintar, cerdas dan berbakat pada peringkat usia awal. Sebelum ini tiada program khusus untuk pelajar pintar bagi meningkatkan kebolehannya.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, kerajaan telah memperuntukkan RM7.3 juta untuk Program Permata Pintar di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 1 melibatkan kos operasi perkhemahan cuti sekolah bagi pelajar berjaya melepasi ujian saringan UKM1 dan UKM2


Tambahnya lagi, penggubalan kursus diadaptasi dari Pusat Belia Berbakat (CTV) di Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat dengan pembangunan dan penyelenggaraan sistem online untuk ujian saringan UKM1 dan UKM2 serta latihan kepada tenaga pengajar.

Sementara itu, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) RM20 juta telah diperuntukkan untuk membina Kompleks Sekolah Permata Pintar di UKM. Statistik menunjukkan 212,143 pelajar daripada pelbagai jenis sekolah telah mengambil ujian Permata Pintar UKM1 antara Mac dan Jun 2009. Usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di bawah penyeliaan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan.

Daripada jumlah itu, hanya 4,682 pelajar layak menduduki ujian UKM2 antara 10 hingga 30 Ogos 2009 dan cuma 405 pelajar yang terpilih untuk mengikuti program perkhemahan cuti sekolah Permata Pintar di Fakulti Pendidikan UKM dari 28 November hingga 17 Disember 2009.

Matlamat dan strategi program ini untuk melahirkan lebih ramai pelajar pintar di negara ini. Selain itu, program ini juga dapat mendidik dan melahirkan pelajar pintar sebanyak mungkin mengikut sistem dan ujian yang lebih efektif. Jika selama ini banyak pelajar pintar tidak diendahkan, kini mereka boleh dilahirkan melalui sistem yang sistematik melalui pengajaran dan pembelajaran serta ujian yang lebih berkesan.

Kepintaran dan kecerdasan kanak-kanak ini diperkembangkan lagi untuk mengoptimumkan potensi dan bakat pelajar seawal mungkin. Melalui Program Permata Pintar, anak-anak yang mempunyai keistimewaan iaitu pintar, cerdas dan berbakat akan diuji melalui ujian khas dan modul yang telah disahkan.

Mengimbau sejarah Islam, Luqman al-Hakim adalah seorang tokoh pintar dan seorang ayah penyayang dan bijak dalam mendidik anak-anaknya. Beliau melihat anaknya dengan pandangan penuh kasih sayang. Cara pendidikannya melalui nasihat penuh hikmah, lontaran perbandingan bagi membimbing anak-anak untuk berfikir. Beliau bijak mengatur kata-kata dalam membangunkan kefahaman dan memperkasa jiwa si permata hati.

Nasihat Luqman mengenai keistimewaan dan kecerdasan akal anak. Dia berkata kepada puteranya: “Puteraku, puncak kehormatan dan kedudukan tinggi adalah akal yang cerdas. Orang yang cerdas akalnya, maka akan tertutup semua dosa-dosanya, diperbaiki kesalahan-kesalahannya dan diredai Tuhannya.”

Ibu bapa harus mengambil teladan daripada kisah dan sejarah Luqman dalam pendidikan anak-anak. Bagi meningkatkan potensi minda anak-anak, mereka digalakkan mahir berfikir yang merupakan antara potensi minda yang berperanan penting dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Kemahiran berfikir di kalangan anak-anak adalah antara potensi minda yang sangat penting untuk melahirkan pelajar pintar. Ia berperanan dalam menentukan kejayaan dalam apa juga bidang diceburi.

Kemahiran berfikir yang sistematik adalah pendidikan memproses minda bagi mencapai sesuatu tujuan. Tokoh pendidik Barat, Dewey memberikan contoh, iaitu mengaitkan berfikir dengan perilaku individu. Beliau berpendapat, kepintaran melalui kemahiran berfikir adalah suatu aktiviti mengawal, menguasai dan menyesuaikan diri pada persekitaran yang sukar.

Sementara pakar psikologi, Mayer, menyifatkan kemahiran berfikir sebagai kemahiran pengolahan operasi mental yang merangkumi pengetahuan, pengamatan dan penghasilan sesuatu. Ia merupakan suatu aktiviti terarah kepada penyelesaian sesuatu masalah.

Costa pula mengaitkan kemahiran berfikir dengan proses penerimaan rangsangan luar oleh minda melalui deria. Selain itu, berfikir dengan sistematik dapat menyelesaikan masalah.

Latihan berfikir yang sistematik dapat melahirkan lebih ramai pelajar pintar, kurang melakukan kesilapan, kecelaruan atau kesilapan berfikir. Ia mengelakkan seseorang daripada berfikir secara terburu-buru, emosional, kabur dan sempit. Berfikir adalah kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir boleh dipelajari dan dipertingkatkan.

Ibu bapa harus memahami kejayaan anak pintar adalah terletak kepada cara mereka berfikir. Kursus berkaitan kemahiran berfikir dapat mewujudkan anak-anak pintar dalam pelajaran dan mampu menyelesaikan masalah dalam hidup mereka. Pelajar yang mempunyai intelligence quotient (IQ) tinggi tidak semestinya pandai berfikir dan mereka masih perlu diajar berfikir.

Mengikut kajian, tidak semestinya individu yang mempunyai keputusan peperiksaan yang baik mahir berfikir kerana sistem pendidikan pada hari ini secara amnya berdasarkan sistem hafalan dan menuliskan kembali apa yang telah dipelajari. Ramai di kalangan mereka lemah dalam aspek kemahiran berfikir ke arah penyelesaian masalah dan penjanaan keputusan.

Sesungguhnya, usaha melahirkan pelajar yang pintar mestilah dilakukan dengan cara sistematik melalui ujian penyelesaian masalah dan mencari keputusan tepat.
Kemahiran berfikir mestilah diwujudkan dalam pengajaran dan pembelajaran P&P di dalam kelas di sekolah. Negara memerlukan lebih ramai golongan intelek yang mahir berfikir pada masa depan untuk kemajuan dan pembangunan negara.

Setiap ahli masyarakat perlu sedar betapa pentingnya modal insan pintar yang mampu dan mahir berfikir dapat dilahirkan sebagai pelapis pemimpin masa depan.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Melahirkanpelajarpintar/Article/index_html