Tangani Dengan Baik Masalah Anak Susah Tidur

1 Jun 2012



Oleh Siti Zarinah Sahib

PERNAHKAH anda menghadapi situasi ini? Bayi anda yang baru berusia tiga bulan tidak dapat tidur lena dan terbangun setiap dua jam. Malah dia tidak mahu tidur semula walaupun sudah disusukan dan ditukarkan lampin. Menjelang jam lima pagi barulah dia dapat tidur nyenyak. Keadaan ini sudah tentu memenatkan tambahan pula bagi ibu yang bekerja keesokan harinya.

Ramai ibu bapa menghadapi masalah dalam menetapkan rutin tidur anak-anak. Malah keadaan ini menjadi senario biasa terutama bagi ibu bapa muda. Sesetengah ibu bapa boleh bertahan dalam situasi ini tetapi ada menganggapnya sebagai pengalaman memenatkan dan mendatangkan tekanan.


Kajian membabitkan 30,000 ibu di 17 negara termasuk Amerika Utara, Britain dan Asia Pasifik mendapati, masalah bayi tidak tidur lena serta kerap terjaga malam berlaku di semua negara. Senario di Malaysia turut menunjukkan masalah yang sama iaitu bayi dan kanak-kanak berkemungkinan tidak tidur lena.

Perunding dan Pakar Dada Kanak-kanak, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur serta panel pakar program pendidikan mewakili Kesatuan Tidur Paediatrik Asia Pasifik (APPSA), Dr Norzila Mohamed Zainudin, mendedahkan hasil kajian mendapati 47 peratus daripada ibu di Malaysia yang terbabit dalam kajian itu tidak mempunyai rutin waktu tidur yang sama bagi kebanyakan malam, manakala 45 peratus ibu bapa berpendapat, bayi mereka mempunyai masalah tidur. Pada masa sama, 20 peratus ibu bapa menyatakan menidurkan bayi adalah waktu yang sukar.


Hakikatnya, ramai pakar kanak-kanak di Malaysia mendapati, ibu bapa di Malaysia tidak begitu menyedari bayi mereka tiada pola tidur yang sihat dan ini menjadi punca masalah tidur yang dihadapi bayi mereka.


“Ibu bapa perlu sedar bayi dan kanak-kanak memerlukan tidur yang cukup dan berkualiti. Ini kerana tidur adalah elemen kesihatan yang sangat penting dalam kehidupan seseorang. Tidak menetapkan rutin waktu tidur dan tidak mendapat tidur yang baik dalam jangka panjang akan menjejaskan tumbesaran kanak-kanak, sistem imunisasi, daya ingatan, kebolehan belajar dan kesihatan anak.

“Justeru, penting bagi ibu bapa mempraktikkan rutin waktu tidur yang tetap kerana ini dapat mengajar kanak-kanak untuk lebih tenang dan tidur lena setiap malam,” katanya ketika pelancaran program Rutin Tidur Bayi anjuran Johnson’s Baby yang diadakan di Hotel The Gardens & Residences baru-baru ini.

Dari sudut kesihatan, tidur yang mencukupi akan melepaskan beberapa hormon penting dalam tubuh yang diperlukan untuk pembentukan tulang bayi. Ketika tidur banyak lemak yang tidak diperlukan akan terbakar dan ini menjadikan bayi dan kanak-kanak berkembang sihat dan kurang mengalami masalah kegemukan.

“Ini terbukti menerusi kajian dijalankan Universiti Havard yang mendapati kanak-kanak yang tidur kurang 12 jam sehari berisiko tinggi mengalami masalah berat badan. Kajian itu turut mendedahkan, kira-kira 17 peratus kanak-kanak yang tidur kurang dari 12 jam sehari menjadi obes pada usia tiga tahun berbanding hanya tujuh peratus dalam kalangan kanak-kanak cukup tidur,” katanya.

Bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke atas pula, tidak cukup tidur membuatkan mereka cepat marah. Malah di sekolah, mereka berhadapan masalah tumpuan, lemah daya ingatan dan membuat keputusan serta kekurangan tenaga. Mereka mempunyai pencapaian akademik lebih rendah kerana tidak dapat memberi tumpuan di bilik darjah.

Menerangkan pola tidur bayi dan kanak-kanak, Dr Norzila berkata, secara purata setiap bayi menggunakan lebih kurang 70 peratus daripada hari mereka untuk tidur manakala kanak-kanak dan remaja tidur di antara lapan hingga 10 jam sehari.

“Bayi berusia dua hingga 12 bulan biasanya memerlukan waktu tidur antara 14 hingga 15 jam sehari. Biasanya 15 jam itu diperoleh secara berterusan, tetapi ada juga bayi yang tidur dalam beberapa sesi. Pola tidur begini tidak tetap tetapi masih dikira baik. Jadual tidur yang konsisten akan muncul apabila sistem saraf bayi matang.

“Pada usia setahun hingga tiga tahun kanak-kanak memerlukan tidur selama 12 hingga 14 jam sehari dan keperluan ini semakin berkurangan kepada 11 hingga 13 jam sehari apabila usia meningkat enam tahun. Pada usia 12 tahun ke atas kanak-kanak dan remaja biasanya hanya akan tidur pada waktu malam dan jangka masa tidur mereka semakin berkurangan kerana banyak melakukan aktiviti di sekolah. Mereka biasanya memerlukan tidur lapan hingga 10 jam sehari,” jelasnya.

Dr Norzila berkata, faktor penyebab masalah tidur pula antaranya termasuklah masalah obesiti, genetik tidak normal dan cara pernafasan tidak betul seperti bernafas melalui mulut atau tidur dengan nafas terhenti-henti yang boleh mengganggu lena mereka. Lewat tidur kerana bermain komputer atau menonton televisyen hingga lewat malam akan mengganggu ritma tidur dan boleh menyukarkan untuk bangun keesokan harinya.

Tambahnya lagi adalah sesuatu yang normal sekiranya bayi terjaga pada waktu malam. Ibu tidak perlu panik dan terus bangun kerana bayi sebenarnya hanya terjaga untuk seketika dan akan tidur semula dengan sendirinya.

Kebanyakan bayi akan bangun setiap dua atau tiga jam setiap malam untuk menyusu badan atau apabila lampin basah. Malah keperluan untuk bangun pada waktu malam akan berkurangan selepas usia mereka mencecah enam bulan ke atas.

Paling penting ibu bapa perlu menerapkan budaya dan rutin tidur yang betul sejak kecil supaya anak-anak mendapat manfaatnya. Ini boleh dilakukan dengan menetapkan waktu tidur anak-anak sebaiknya tidur sebelum jam sembilan malam serta mengasingkan bilik tidur anak-anak sejak bayi lagi.

“Membiasakan anak-anak tidur bersendirian akan memberikan mereka lebih waktu tidur yang sempurna serta melatih mereka berdisiplin ketika di tempat tidur.
Ini memastikan mereka masuk ke bilik mengikut waktunya,” jelasnya yang menasihati ibu bapa supaya tidak tidur bersama anak di ruang tamu atau membiarkan anak menonton televisyen bersendirian kerana ini akan menyebabkan anak-anak mengalami gangguan tidur dan tidak akan tidur awal.

Menurut Pengarah Pemasaran Profesional Johnson & Johnson Asia Pasifik, Robert Kwon, selain mendapatkan rutin tidur secara berkala menyediakan ruang tidur yang selesa serta memberikan sentuhan menerusi urutan dan belaian mampu mempengaruhi tempoh tidur bayi.

Ini boleh dilakukan dengan memandikan bayi selama lima minit menggunakan mandian bayi diikuti urutan pada keseluruhan badan bayi menggunakan minyak bayi selama dua minit. Pakaikan pakaian nipis diperbuat daripada kapas. Selepas itu, bangkitkan suasana tenang dengan melakukan aktiviti tanpa menimbulkan suasana bising seperti membaca buku cerita, memeluknya dengan lembut atau membelai sehingga bayi terlena.

“Kajian dijalankan Johnson & Johnson menunjukkan mandian serta urutan boleh menenangkan bayi serta memberikan tidur yang lena sepanjang malam. Sentuhan lembut menerusi minyak bayi dan bau-bauan memberikan bayi rehat sehingga esoknya. Gel mandian dan krim losen Johnson menggunakan pati NaturalCalm dirumus dengan aroma nyaman dan pati bunga melur lembut. Kedua-dua produk ini terbukti secara klinikal dalam membantu bayi dan kanak-kanak tidur lebih lena dan lama sepanjang malam.

“Namun begitu, ibu bapa harus memilih produk bersesuaian dengan kulit bayi.
Sebaiknya pilih produk yang tidak merengsa dan lembut.

Ini kerana kulit bayi mudah kehilangan lembapan dalam masa yang cepat,” katanya.


Panduan membentuk tabiat tidur yang baik:


Lakukan aktiviti pada siang hari.

Pada waktu siang, lakukan aktiviti bersama-sama dengan bayi. Misalnya mengajaknya berbual-bual bersama, menyanyi atau bermain. Biasakan bayi dengan kebisingan rumah seperti bunyi orang memasak, televisyen atau penyedut hampa gas. Stimulasi sebegini pada waktu siang hari membantu tidur yang lebih baik pada waktu malam.


Pantau tidur siang anak anda.

Tidur sekejap pada waktu siang amat penting tetapi jika tidur terlalu lama pada waktu siang akan mengganggu pola tidur anak anda pada waktu malam.


Ikut rutin waktu tidur yang konsisten.

Sebelum tidur, mandikan dia, buat urutan ringkas sambil membelai badannya. Ketika di bilik tidur menyanyi dan bacakan buku untuknya. Lama kelamaan bayi anda akan mengaitkan semua aktiviti ini dengan tidur.


Tidurkan bayi ketika mengantuk.

Walaupun dia belum tidur, tetapi sudah mulai mengantuk, bawa dia ke biliknya.
Ini boleh membantu anak mengaitkan rasa mengantuk dengan tidur. Bagaimanapun, pastikan katilnya kemas daripada anak patung, bantal atau selimut kerana ia mungkin membuat dia lemas tanpa sedar.


Beri masa untuk dia bertenang.

Bayi kerap menggeliat dalam tidur mereka. Kadangkala ia menyebabkan kebisingan.
Selain itu, dia mungkin merengus atau menangis sebelum bertemu posisi tidur
yang selesa. Tunggu beberapa saat sebelum bertindak balas kerana kadangkala dia akan senyap dengan sendirinya.

Bagaimanapun, jika anda merasakan dia lapar atau terganggu dengan mimpi ngeri dan tangisannya tidak berhenti, bercakaplah dengannya secara tenang. Anda juga boleh membelai dan menepuk belakangnya. Dengan cara begitu, dia tahu anda ada di sisinya dan membantu untuk dia tidur.


Pastikan malamnya sentiasa gelap.

Jika bayi perlu minum susu pada waktu malam, guna lampu yang suram cahayanya.
Suara anda juga harus perlahan. Ia membantu memberitahu bayi, masa itu adalah untuk tidur.


Elakkan menonton televisyen

Elakkan anak-anak tidur di ruang tamu sambil menonton televisyen. Pastikan ibu bapa menetapkan rutin menonton sebelum waktu tidur kemudian tidak membenarkan anak-anak menonton lagi. Ini bagi memastikan mereka memahami rutin tidur harian mereka.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Ibubapaperlutegas/Article